Kring…!!! “Terima kasih, cikgu...”
Terasa cepatnya masa berlalu pada hari itu. Haziq, Haikal, Aiman dan Ikbal bergegas ke kantin untuk mengisi perut yang sedari tadi menjerit-jerit meminta untuk diisikan makanan. Suasana di kantin sememangnya hingar-bingar pada waktu rehat. Seperti penjual yang sedang mempromosikan harga barangan jualan mereka di pasar layaknya.
“Kak, cucur pisang 3 ringgit air milo ais 4. Cepat sikit, kak!” Jerit Aiman kepada pekerja di kantin.
Sejurus kemudian, makanan yang dipesan dihidangkan di atas meja berhadapan dengan tempat duduk mereka. Sambil menikmati makanan, mereka berbual-bual panjang. Mereka sering menghabiskan waktu rehat selama setengah jam di kantin. Kadang-kadang mereka pernah masuk ke kelas ketika cikgu sudah memulakan proses pengajaran. Empat sekawan ini sememangnya amat terkenal di sekolah mereka. Mereka merupakan antara sekumpulan pelajar yang sering keluar masuk bilik kaunseling. Untuk tahun ini sahaja, sudah lebih daripada sepuluh kali nama mereka dipanggil oleh kaunselor, Cikgu Badrul. Kesalahan yang dilakukan boleh dimuatkan dalam satu fail. Selain lambat masuk kelas mereka juga sering membuli pelajar junior, terutama pelajar yang masih baru dan mentah
“Mulai hari ini, kau di bawah awasan kami. Jika kau tak beri duit setiap hari kepada kami, awas!” Bentak Aiman keras. Kata-kata tersebut sering menghantui fikiran pelajar-pelajar baru di sekolah mereka. Malah ada antara mereka yang berminggu-minggu tidak hadir ke sekolah akibat gentar untuk berhadapan dengan mereka berempat. Terdapat juga kes yang sehingga menyebabkan ibu bapa pelajar datang ke sekolah berjumpa dengan pengetua. Ibu bapa siapa yang tak marah jika anak mereka diperlakukan sedemikian rupa?
Suatu hari, Puan Evlyn sedang mengajar subjek Sejarah. Tiba-tiba, Cikgu Badrul mengetuk pintu kelas. Setelah meminta kebenaran daripada Puan Evlyn, Cikgu Badrul seperti memandang ke arah Haikal, Haziq, Aiman dan Ikbal.
“Aiman, Ikbal, Haziq dan Haikal, sila pergi ke bilik pengetua, sekarang!”
“Alah, lecehlah... Asyik jumpa dengan dia je. Minggu ni dah berapa kali tengok muka dia. Dah naik muak ni,” kata Aiman.
“Aah, rasa macam nak muntah pun ada,” kata Haikal tanda setuju dengan Aiman.
“Eh, janganlah muntah sekarang, Kal. Kalau kau nak muntah pun, tunggulah sampai kita dah masuk dalam bilik orang tua tu. Kalau kau nak muntah waktu tu, muntahlah. Lagi seronok.” Celah Ikbal pula.
“Ehm, aku tak setuju. Mana ada keseronokan macam tu. Kalau kau muntah terkena muka orang tua tu, barulah dikatakan seronok. Biar padan dengan muka dia tu.” tambah Aiman lagi.
“Ha’ah la. Hebat jugak idea kau, Man. Mana kau kutip?” tanya Haziq.
“Dalam perjalanan balik dari tandas tadi,” gurau Aiman. “Ha...ha...ha...”.
Hilaian ketawa mereka disusuli dengan ketawa daripada rakan-rakan sekelas yang lain. Puan Evlyn hanya mampu menggelengkan kepalanya.
“Sudah, sudah! Cukup! Pergi ke bilik pengetua sekarang!”. Lantang suara Cikgu Badrul meleraikan keriuhan tersebut. Ternyata keempat-empat sahabat tersebut tidak berasa gerun apabila berhadapan dengan pengetua. Sebaliknya, mereka memaki hamun pengetua tersebut. Oleh itu, mereka diberi gelaran Geng Deras oleh pelajar-pelajar lain.
Setibanya mereka di hadapan bilik pengetua, mereka diarahkan untuk duduk di atas kerusi yang berhadapan dengan pengetua.
“ Kamu mesti tahu kan, tujuan saya memanggil kamu ke bilik saya?” soal pengetua sambil membelai-belai kumisnya.
“Untuk cabut uban cikgulah,” jawab Aiman dengan suara separuh berbisik. Rakannya hanya mampu tersenyum.
“Apa kamu kata, Aiman?” tanya pengetua seolah-olah mendengar kata-kata dari Aiman sebentar
tadi.
“Apa pulak saya, cikgu? Bukan saya. Saya tak cakap apa-apa pun,” kata Aiman berdolak-dalik.
“ Haikal yang cakap, cikgu,” sambungnya lagi.
“Laa... apa pulak aku. Aku diam saja dari tadi. Entah-entah kau, Ikbal,” kata Haikal sengaja memanjangkan isu-isu rumit tersebut.
“Sudah,sudah!” jerit pengetua sambil memukul rotan ke atas mejanya.
“ Kamu sedar tak dah melambak kes-kes yang kamu lakukan di sekolah ni? Dah hampir penuh satu fail. Kamu nak jadi apa, hah? Samseng? Kalau nak jadi samseng pun, ini bukan tempatnya. Untuk minggu ni dah banyak kali ibu bapa pelajar keluar masuk bilik saya. Asyik-asyik kes yang sama. Buli, buli, buli. Malu saya, tau tak? Kamu tahu apa? Saya sebagai pengetua, saya yang terpaksa menanggung semua kesalahan pelajar-pelajar saya. Dah berapa kali dah saya dimaki tidak mahir mengajar pelajar. Siapa yang tak pandai sebenarnya, hah?! Jawab!”.
“Pura-pura tak tau lah pulak. Salah sendirilah,” jawab Haikal dengan nada suara yang agak samar.
Papp!!! Sebatang rotan hinggap ke lengan kiri Haikal.
“Kamu fikir, saya tak dengar, Haikal? Perangai kamu semua ni memang tak ubah seperti samseng! Kamu tahu, samseng!!”. Pengetua menarik nafas dalam-dalam. Memang sukar untuk mengawal emosi apabila berhadapan dengan tingkah laku pelajar yang melampau-lampau sikapnya.
“Setelah berbincang sekian lama dengan guru disiplin dan Cikgu Badrul, kami memutuskan untuk menjatuhkan hukuman buang sekolah kepada kamu berempat. Kami telah menghantar surat rasmi kepada Kementerian Pelajaran Malaysia dan mereka telah bersetuju dengan hukuman tersebut. Jadi, mulai hari ini, gunakanlah masa yang masih berbaki dengan sebaiknya kerana hari ini merupakan hari terakhir kalian di sini.”
“Eh, kau nak pergi mana tu?” tanya Haziq kepada Haikal sebaik sahaja mereka masuk ke dalam kelas.
“Baliklah, nak ke mana lagi?!” jawabnya selamba.
“La... takkan dah nak balik. Awal lagi ni. Ada dua subjek lagi tinggal ni,” kata Haziq cuba untuk mengingatkan Haikal.
“Aku peduli apa. Aku tak naklah tunggu lama-lama kat sekolah ni. Boleh blah la...”.
“Aah, kau ni pun satu, Kal. Kalau nak blah pun, ajaklah kami sekali,” kata Aiman sambil meletakkan lengannya di atas bahu Haikal.
“ Lepaslah, rimas aku, tau tak!.” Haikal terus meluru keluar dari kelas.
“ Kenapa dengan Haikal tu? Angin tak ada, ribut tak ada, tiba-tiba saja meradang tak tentu pasal,” kata Ikbal.
***************************************************************************************
Petang itu, mereka berkumpul di tempat biasa. Pondok di tepi simpang taman perumahan mereka menjadi lokasi pilihan setiap petang.
“Alah, Kal, relakslah. Bukannya kau tak pernah dihukum macam ni. Tengok kami tiga. Relaks, biasa je. Taklah seteruk kau ni.” Kata Ikbal sambil menyepak batu-batu kecil.
“ Macam mana nak relaks? Habis aku kena marah mak aku tadi. Korang tau tak?!” jawab Haikal separuh menjerit.
“Aku pun sama. Lagi teruk dari kau. Tengok lebam-lebam kat belakang badan aku ni,” kata Aiman sambil menunjukkan kesan lebam di belakang badannya.
“Hish, tak sakitkah?” tanya Haziq. “ Aku tengok kau macam tak ada rasa apa-apa saja,” sambungnya lagi.
“Eh, kau ni macam tak tahu pulak. Aiman ni kan kebal,” puji Ikbal.
“Kau, Haziq. Ibu kau tak marah?” tanya Aiman pula.
“Marah tu memanglah ada. Tapi ibu aku nak pindahkan aku ke sekolah asrama penuh.”
“Alah, tak dapat lepak dengan kau ni lagi lah ni.”
“Tak apalah. Aku rasa mungkin itulah keputusan yang terbaik setakat ini. Aku ikut saja apa yang ibu inginkan.”
“Betul ke ni Haziq yang aku kenal dulu?” tanya Ikbal kehairanan. Haziq hanya mampu mengukir senyuman tawar.
“Eh, yang kau beria-ia sangat nak ajak kami ke sini patang ni, kenapa? Apa yang mustahak sangat tu?” tanya Ikbal seolah-olah baru menyedari tujuan mereka berkumpul petang itu.
“Oh ya! Aku baru teringat. Sementara kita masih mempunyai banyak kelapangan ini, apa kata kita mencuba sesuatu yang baru.” Kata Aiman.
“Sesuatu yang baru?” Tanya Haziq.
“Ya. Jom kita merempit!!” Jawab Aiman kembali.
“ Merempit?!!” kata Ikbal, Haikal dan Haziq hampir serentak.
“Merempit? Kau gila ke? Aku tak naklah. Aku ‘chow’ dulu. Assalamu’alaikum.” Haziq terus berlalu dari situ tanpa menoleh ke belakang.
“La...alimlah pulak mamat ni,” sindir Aiman. Haikal yang dari tadi melayan perasaan sedihnya itu mula menunjukkan minat terhadap topik perbualan mereka.
“Merempit. Hmm... boleh jugak. Bila kita nak mula? Di mana litar kita?” bertubi-tubi soalan yang dilemparkan oleh Haikal.
***************************************************************************************
Setiap malam, mereka memulakan operasi seperti biasa. Bunyi deruman enjin motosikal yang semakin kuat memecah keheningan malam. Terdengar sayup-sayup rengekan anak-anak kecil. Pasti tidur malam mereka terganggu dek bunyi bising itu.
“Yeay, aku menang lagi!” Jeritan kemenangan terpacul keluar dari bibir Haikal. Termasuk malam itu, sudah lebih dari sepuluh kali Haikal menjuarai pertandingan tersebut. Dia sering mendominasi perlumbaan lebih-lebih lagi dia menunggang motosikal keluaran baru. Sudah pasti kelajuan motosikal itu juga bertambah.
Sejak mereka mula berkecimpung dalam aktiviti haram ini, Haziq sering menerima aduan daripada penduduk di kawasan tempat tinggal mereka. Dalam kenangan mereka berempat, Haziq merupakan seorang yang boleh dikatakan baik jika dibandingkan dengan Aiman, Ikbal dan Haikal.
Pernah sekali Aiman mengajaknya menyertai mereka pada setiap malam. Namun, Haziq dengan serta merta menolak pelawaan tersebut. Dia sedar bahawa penglibatannya tidak akan membawa apa-apa faedah kepada dirinya malah keburukan bakal bertandang ke atas dirinya. Jadi, dia lebih memilih untuk duduk di rumah pada waktu malam.
Seminggu lagi, Haziq akan berpindah ke sekolah asrama penuh. Baginya, ini mungkin pilihan yang terbaik buat dirinya. Ya, dia harus melanjutkan pelajarannya yang telah lama tertunggak dengan secepat mungkin agar tidak ketinggalan banyak topik penting. Tambahan pula, dia bakal menduduki peperiksaan awam Sijil Pelajaran Malaysia pada tahun ini.
“Haziq, boleh tak kau nasihat sikit kawan-kawan kau tu? Melampau sangat mereka ni. Ingat jalan raya ni bapa mereka yang buat, hah?! Anak pak cik selalu menangis waktu malam. Hah, tu kawan-kawan kau punya pasal lah tu. Kalau dah terjadi apa-apa nanti, baru tahu,” luah Pak Hassan dengan nada yang geram bercampur kesal.
“Nasihat ? Hmm... macam mana aku nak nasihat mereka? Kalau aku nasihat pun tak guna. Masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Bagus tak payah. Susah jugak nak kawal mereka ni. Hmm... agaknya macam nilah perasaan cikgu-cikgu yang pernah kami sakiti dulu,” omelnya seorang diri.
Haziq seolah-olah baru menyedari kesalahan yang dilakukannya selama ini. Namun demikian, setidak-tidaknya Haziq mudah cair hatinya. Dia mudah menerima nasihat daripada sesiapa sahaja. Kontras pula dengan rakan-rakannya yang lain. Nasihat sedikit dah melenting. Dah mula naik darah. Lebih-lebih lagi Haikal. Dia memang seorang yang terkenal dengan sikap panas barannya. Sikapnya ini membuatkan rakan-rakan yang lain menganggapnya sebagai ketua mereka.
***************************************************************************************
Petang itu, Haziq baru pulang dari kedai runcit berdekatan untuk membeli perkakasan mandi. Sebelum dia berpindah ke sekolah asrama barunya. Sebaik sampai di persimpangan jalan masuk ke taman perumahannya, Tok Wan memanggil namanya. Dia bergegas meluru ke arah Tok Wan. “ Ni mesti nak cakap pasal rempit malam-malam ni,” desis hatinya. Sebaik sahaja tiba di hadapan imam masjid kawasan perumahannyan itu, Tok Wan terus memulakan perbicaraannya setelah bertukar salam. Dia mengatakan bahawa dia menerima banyak aduan daripada penduduk setempat berhubung dengan kes rempit.
“Hmm... kan betul sangkaanku! Mesti pasal rempit n.” Haziq hanya mampu mengangguk-angguk dan senyum di hadapan Tok Wan. Menurut Tok Wan, hampir setiap malam penduduk sekitar yang datang ke masjid mengasu tentang aktiviti mat rempit. Ada yang sempat menyumpah Haikal, Ikbal dan Aiman supaya mereka ditimpa kemalangan yang amat dahsyat sampai membawa maut. Sekali lagi Haziq hanya mampu mendengar pertuturan dari bibir lelaki tua itu. Dia sedikit terkejut apabila mendengar perkataan ‘maut’. Jauh dari sudut hatinya, dia tetap bimbangakan kawan-kawannya. Dia tidak ingin sesuatu yang buruk bakal terjadi kepada mereka bertiga.
***************************************************************************************
Tiba waktu malam. Jantung Haziq berdegup dengan pantas. Seolah-olah ada sesuatu yang bakal terjadi. Lantas dia membuang jauh semua bayangan buruk yang asyik berlegar-legar di kotak mindanya. Malam itu, hatinya tergerak untuk keluar rumah. Entah kenapa, degupan jantungnya semakin kuat dan pantas.
Tiba-tiba, kedengaran bunyi brek motosikal ditekan secara mengejut. Sejurus kemudian, cuping telinga Haziq menangkap bunyi yang menyebabkan matanya terbeliak besar. Polis?!!!
Siapa pulak yang buat laporan polis ni? Haziq terus menuruni anak tangga rumahnya. Dia menyarungkan seliparnya dengan tergesa-gesa dan terus meluru ke arah bunyi siren kereta polis.
“Haziq, nak ke mana tu?” tanya ibunya kehairanan.
“Haziq nak tengok apa yang berlaku kat sana. Pergi dulu, ibu,” jawab Haziq.
Setelah berjaya mengesan bunyi siren kereta peronda, Haziq terus berlari sepenuh haiti untuk menyaksikan kejadian yang berlaku.
Dari jauh, Haziq dapat melihat aksi kejar-mengejar antara polis dengan sekumpulan penunggang motosikal.
“Eh, itu Aiman!” kata Haziq separuh menjerit. Tiba-tiba...
“Woi, Haziq! Ini semua kau punya pasal, kan? Kau yang buat laporan polis, kan? Pasal kau tak puas hati dengan kami, kan?”
“Astaghfirulah... bukan aku! Betul, aku berani bersumpah.”
“Aah... aku tak nak dengar. Kau pengkhianat, Ziq! Pengkhianat! Aku benci kau!!!” laung Haikal separa menjerit. Dia terus menunggang motosikalnya. Dia cuba sedaya upaya untuk lari daripada polis, namun pihak polis terlebih dahulu mengesan kehadiran Haikal. Haikal terus memecut laju. Tanpa disedari, Haikal telah merempuh lampu isyarat merah. Dengan sekelip mata sahaja, motosikal yang ditunggang Haikal terlanggar kereta Nissan putih yang datang dari arah tepi sebelah kanan. Motosikalnya terheret ke bahu jalan. Haikal terjatuh terpelanting. Dia mengaduh kesakitan. Belum sempat dia cuba untuk berdiri, sebuah kereta Hilux keluaran baru yang datang dari arah yang sama mengheretnya sejauh satu kilometer dan menggilis bahagian leher dan perutnya. Kotak suaranya pecah. Usus-usus perut kelihatan di celah-celah isi perutnya yang terburai. Keadaan Haikal sangat mengerikan. Haziq hanya mampu melihat dari jauh.
Selang beberapa minit kemudian, terdengar satu bunyi hentakan yang kuat. Iiiitt... booom.... !!!
Jantung Haziq bagai mahu terjatuh. Dalam masa yang sama, jantungnya seolah-olah berhenti mengepam darah. Mukanya pucat. Otaknya ligat berputar memikirkan sesuatu yang buruk. Lantas, dia menjerit nama Ikbal dan Aiman. Namun, jeritannya tidak mampu untuk menyelamatkan nyawa kedua-dua rakannya itu. Aiman dan Ikbal berusaha untuk mangaburi mata pihak polis. Tanpa disedari, tayar motosikal Aiman kelihatan longgar dan lama-kelamaan tercabut. Aiman tidak sempat untuk melakukan apa-apa. Aiman dan motosikalnya terhumban ke dalam gaung yang berdekatan dengan taman perumahan mereka. Motosikal Ikbal pula merempuh pembahagi jalan dan terbelah dua. Ikbal terpelanting dan terjatuh ke dalam parit besar. Kepala dan tulang belakangnya terhantuk pada simen. Darah melumuri badannya. Haziq hanya mampu menyaksikan tragedi yang meragut nyawa ketiga-tiga sahabat karibnya. Dia terpaku di satu tempat tanpa berganjak sedikit pun. Air mata berterusan mengalir. Dia tidak tahu apa yang harus dia lakukan sekarang. Kepalanya didongak ke arah hamparan langit yang luas. Seolah-olah meminta simpati daripada Yang Maha Pencipta. Dia terus memandang kepekatan langit malam. Matanya tertutup perlahan-lahan dan...
***************************************************************************************
“Haziq. Haziq, bangun nak. Bangun.”
Haziq terdengar suara ibunya memanggil-manggil namanya. Lantas, perlahan-lahan dia membuka kelopak matanya. Wajah pertama yang dilihatnya ialah wajah sayu ibunya. Kemudian, anak matanya terarah ke suatu sudut di dalam biliknya.
Tiga orang pemuda sebayanya sedang berdiri melihatnya. Mereka tersenyum melihat Haziq. Haziq membalas senyuman mereka. Kelihatan mereka melambai-lambai tangan ke arah Haziq. Haziq hanya mampu tersenyum. Lama-kelamaan, bayangan ketiga-tiga pemuda tersebut semakin pudar, pudar, pudar dan hilang di sebalik tembok dinding biliknya.
p/s : Hasil karya housemates saya juga di UNIMAS..
Dapatan imaginasi,
NamidaSyaripuddin
Saturday, October 22, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)



0 comments:
Post a Comment