Welcome to my Blog and Smile!

Welcome to my Blog and Smile!
"A smile takes but a moment, but the memory of it lasts forever"

Saturday, October 22, 2011

Tajuk:Di Sempadan Itu.

Yeah, aku berjaya! Akhirnya aku berjaya meloloskan diri dari ‘neraka’ itu. Aku bebas! Tanpa membuang masa aku terus berlari sekuat hatiku. Larianku tanpa tujuan. Aku tidak tahu untuk lari ke mana. Aku hanya ikut gerak hatiku sambil kakiku menghayunkan langkah. Bibirku tidak lekang dengan senyuman. Aku berasa sangat gembira kerana aku telah berhasil keluar dari tempat kurungan itu.
“Huh, ingat senang nak keluar dari tempat macam tu? Perlu ada skilllah. Barulah berhasil. Tengok oranglah. Hahaha..” omelku sendirian.
Kakiku terus menghayunkan langkah. Dari mula lagi aku memang bercadang untuk lari guna jalan hutan. Dengan ini, polis takkan dapat menjejaki aku. Setelah sekian lama berlari, ayunan langkahku semakin perlahan dan perlahan. Aku memilih untuk berjalan sahaja. Perjalananku amat panjang. Entah berapa kilometer dah aku redah hutan ni. Mengalahkan atlet lagi. Aku terus meredah hutan dengan ditemani cahaya rembulan. Sampai satu masa, baru aku sedari aku telah tersesat. Lantas,aku memukul kepalaku berkali-kali menyalahkan diri sendiri. “Kenapalah bodoh sangat ni,Fiz?!” Namun, segalanya sudah terlambat. Kini aku sedang berdiri di tengah-tengah hutan belantara. Seorang diri. Tidak, aku tidak keseorangan! Terdapat beberapa ekor nyamuk menemaniku di sini. Desingan bunyi nyamuk amat membingitkan telingaku. Aku terus memaksa otakku memikirkan cara untuk keluar dari sini. Ataupun, aku harus mencari tempat perlindungan sementara kerana awan seperti ingin memuntahkan muatannya yang kian berat.
“Alah, macam mana ni? Dalam hutan macam ni mana ada rumah. Jangankan rumah, pondok pun tak ada. Hutan ntah apa ni aku pun tak tahu.” Aku bermonolog sendiri. Ku perhatikan sekelilingku. Tiada apa-apa yang menarik. Cuma tumbuhan yang menghiasi penglihatanku. Tiba-tiba datang satu suara dari arah belakang.
“Assalamualaikum, anak cari tempat untuk berteduh?”
“Aahhh….!!!” Jeritku ketakutan. “Pa..pa..pak cik ni.. si..si..siapa?” Tanyaku cuba untuk memberanikan diri.
“Saya penjaga surau itu, merangkap imamnya sekali,” ujar pak cik itu. Lantasku layangkan anak mataku ke arah jari telunjuk pak cik itu yang sedang menunjuk ke arah sebuah surau.
‘Aneh, tadi tak ada satu pun bangunan kat sini, tapi…’ desis hatiku.
“Kalau saya bisa tahu, anak ini siapa dan datangnya dari mana? Sepertinya pak cik tidak pernah melihat anak sebelum ini. Apa anak ini sendirian?” Bertubi-tubi soalan dilemparkan kepada aku. ‘Macam artis pula rasanya,’ desis hatiku.
“Oh, saya Fiz. Saya datang dari bandar sana tu,” jawabku sambil menunjuk ke arah belakangku. Aku pun tidak pasti sama ada jariku menunjuk arah yang betul atau sebaliknya.
“Oh, kalau begitu ayuh, singgah dulu ke surau pak cik. Anak ini pasti keletihan. Pergilah bersihkan diri sekalian kita makan barang.” Pelawa pak cik itu.
“Oh, baik pak cik. Terima kasih, pak cik.” Aku terus mengekori pak cik itu.Dia menunjukkan arah bilik air kepadaku. Lantas aku terus menuju ke bilik air dan membersihkan diri. Aku bernasib baik kerana dipertemukan dengan seorang insan yang berhati mulia. Kalau tidak,…eh, nanti dulu. Aku tiba-tiba perasan akan cara percakapan pak cik itu. Bunyinya seperti orang Indonesia. Oh, tidak!! Kalau ni Indonesia, maksudnya aku telah melintasi sempadan Malaysia-Kalimantan! Jauh sangatkah aku lari?
“Erm.., pak cik, pak cik ni orang Jndonesia?” Aku cuba memecahkan kebeningan suasana semasa makan malam.
“Iya, kenapa? Anak ini orang Malaysia kan?” Tanya pak cik itu.
“Iya, saya orang Malaysia.” Kami berbual rancak sambil menikmati hidangan makan malam. Pak cik itu gemar bercerita kisah-kisah para nabi dan para sahabat. Aku terhibur mendengar cerita yang disampaikannya. Tambahan lagi, hidangan kami cukup istimewa. Aku beruntung kerana berkesempatan untuk merasa makanan Indonesia.
“Fiz, ini kamar kamu. Tidurnya biar enak. Insya Allah, Fiz akan bangun dengan segar esok pagi. Pak cik keluar dulu. Assalamu’alaikum..” Pak cik itu melangkah keluar dari bilik.
“Eh, pak cik belum tidur lagi?” Tanyaku setelah melihat pak cik itu tidak terus ke kamarnya.
“Belum lagi. Pak cik mau berzikir. Fiz tidur saja. Tak usah risau sama pak cik. Mimpi indah ya.” Dia lalu berpaling dan meneruskan niatnya untuk berzikir.
Dari dalam bilik, telingaku mampu menangkap bunyi alunan zikir yang dialunkan oleh pak cik itu. Entah kenapa, hatiku tiba-tiba terasa tenang dan jiwaku terasa tenteram. Aku merebahkan diriku di atas katil. Anak mataku terarah ke satu sudut di dalam bilik itu. Tergantung kemas bingkai yang menempatkan kalimah Allah. Cantik sekali. Buat kali pertamanya, hatiku tiba-tiba terdetik untuk memuji hiasan sebegitu. Mataku semakin layu namun telingaku masih berupaya menangkap alunan merdu zikir yang dilafazkan oleh pak cik itu. Lama-kelamaan, aku tidak mampu lagi untuk menahan. Kelopak mataku terasa semakin berat dan aku terus terlelap.
“Kembalilah ke jalan Allah dan berpegang kembalilah anda kepada taliNya. Sesungguhnya Dia Maha Pemaaf dan Maha Menyayangi hamba-hambaNya. Jadi, segeralah bangun dan tunaikanlah kewajipan anda sebagai hambaNya. Mudah-mudahan dosa anda diampunkan dan dibuka luas pintu rezeki. Amin..”
Aku terus terjaga dari lenaku. Aku seperti mendengar suara pak cik itu. Aku menggosok-gosok mataku. Ku lihat sekeliling. Aneh,aku berada di mana? Aku kembali menggosok-gosok mataku. Hiasan bingkai yang menempatkan kalimah Allah tiada lagi di hadapanku. Yang ada kini hanyalah rimbunan hijau tumbuh-tumbuhan. Aku terpinga-pinga. Aku cuba untuk berdiri dan mengibas-ngibas pakaianku yang berpasir. Rupa- rupanya, semalaman aku tidur beralaskan tanah. Tapi mengapa? Di mana surau itu? Di mana pak cik itu? Pelbagai persoalan kini bermain-main di benakku.
“Pak cik! Pak cik! Pak cik di mana?!”Aku terus memanggil-manggil pak cik itu.Namun sia-sia. Sejurus kemudian aku terdengar satu bunyi. Bunyi yang amat ku kenali. Tak silap lagi, itu bunyi azan! Pada saat itu, azan sedang berkumandang menandakan telah masuknya waktu Subuh. Ini peluang aku! Kalau aku berjaya menjejaki bunyi itu, maksudnya aku telah berjaya keluar dari hutan ni. Tanpa membuang masa, aku terus menuju ke arah dari mana datangnya bunyi itu. Semakin lama bunyi azan tersebut semakin dekat denganku. Aku harus mempercepatkan langkahku sebelum azan itu berakhir. Ada sedikit sinaran tidak berapa jauh dari penglhatanku. Semakin kuhampiri bunyi itu, semakin terang cahaya itu. Tidak lama kemudian, aku telah sampai di depan pintu pagar sebuah masjid yang berdiri megah. Sinar cahaya tadi datangnya dari lampu-lampu mentol yang tergantung pada dinding masjid itu. Aku perhatikan sekitarku. Terdapat beberapa buah rumah berhampiran dengan masjid itu. Maksudnya, aku telah sampai ke sebuah penempatan. Yeah!
“Assalamu’alaikum, anak ini siapa? Tak nak masuk ke dalam?” Tanya seorang pak cik tua.
“Wa’alaikumsalam..” Pertama kalinya aku membalas salam yang dilontarkan kepadaku.
“Eh, pak cik ni orang Indonesia,kan? Pak cik ke mana tadi? Saya dah banyak kali panggil pak cik tapi pak cik tak juga muncul muncul.” Itulah reaksi pertamaku tatkala memandang wajah pak cik itu.
“Maaf, mungkin anak salah orang. Pak cik orang Malaysia seperti anak. Ayuh, kita masuk ke dalam. Solat jemaah.” Jawabnya selamba.
Aku masih terpinga-pinga sambil menggaru-garu kepalaku yang tidak gatal.
‘Tak mungkin! Wajah pak cik itu memang mirip dengan wajah pak cik yang malam tadi tu!’ bentak hatiku. Mungkin ini merupakan ujian Allah kepadaku. Mulai saat itu aku sedar bahawa Allah sangat sayang kepadaku. Dia sanggup memberiku peluang untuk kembali kepadaNya. Aku lantas melahirkan rasa syukur kerana dilahirkan sebagai seorang muslim.
Usai solat Subuh, aku meminta izin untuk beredar dan kembali ke rumah. Aku memilih untuk tidak menceritakan kejadian malam tadi kepada orang yang ada di masjid itu. Orang kata kalau kita mengalami suatu kejadian yang aneh, sebaiknya disimpan sahaja. Justeru, aku hanya menanyakan jalan untuk sampai ke tempatku. Malu bertanya sesat jalan. Aku tak ingin kejadian malam tadi berulang lagi.
Setibanya di rumah, mataku terarah kepada dua buah kereta peronda polis di halaman rumahku. Aku baru teringat bahawa selama ini aku telah lari dari penjara.
“Alamak, matilah aku! Tak apalah. Apa yang nak ditakutkan kalau aku sedang berada di pihak yang benar? Berani kerana benar, takut kerana salah. Motivasi diri. Ya! Aku harus yaknkan diri aku. Kata Doktor Fadzilah Kamsah, kita mestilah.. Laa kenapa dengan aku ni? Tiba-tiba berfalsafahlah pula.” Aku terus menyalahkan diri sendiri.
Tanpa membuang masa, dengan berbekalkan keyakinan yang tinggi, aku lantas mengorak langkahku menuju ke rumahku. Aahh.. rindunya dengan rumah ni! Masih tak banyak berubah.
“Assalamu’alaikum..”Aku memberi salam.
“Wa’alaikumsalam..” Jawab seisi rumah.
“Fiz, Fiz ke mana nak? Ibu risau sangat. Polis kata Fiz lari dari penjara.” Ibuku terus mengusap-usap mukaku.
“Maafkan Fiz, ibu. Tapi Fiz tak nak kembali kat tempat tu lagi. Fiz tak bersalah. Ibu pun tahukan?” Rayuku kepada ibuku dengan penuh manja. Maklumlah, anak tunggal.
“Oh, ya maafkan saya. Sebenarnya tujuan saya datang ke sini untuk memperbetul kesalahan kami selama ini. Anak puan tidak terlibat dalam kancah najis dadah. Setelah kami periksa betul-betul, air kencing anak puan didapati menunjukkan tanda negatif. Jadi, ini bermakna anak puan tidak perlu lagi kembali ke penjara. Anak puan kini bebas.” Penerangan yang diberikan oleh pegawai polis itu merupakan kejutan terbesar buatku. Namun, aku berlagak seperti biasa. Hatiku tetap memanjatkan rasa syukur kepada Allah.
“Haa.. kan betul Fiz cakap, bu. Fiz tak bersalah.” Ujarku kepada ibu sambil tersenyum.
“Jadi, saya mewakili pihak kami ingin memohon maaf di atas kesalahan kami sehingga membuatkan anak puan terpenjara selama sebulan ini. Sekali lagi, maafkan kami.” Kata pegawai itu lagi dengan penuh rasa salah.
“Tak apalah encik, saya maafkan. Sebulan tu tak lah lama sangat. Setiap manusia takkan pernah lari dari kesilapan. Kita hamba Allah yang lemah. Hanya Dia yang Maha Berkuasa ke atas segala sesuatu. Sepatutnya, encik mohonlah maaf dari Yang Maha Pemaaf.” Wah, betul ke aku yang cakap ni?
“Tapi Fiz, kemaafan daripada orang yang telah kita lakukan kesilapan pun penting juga, kan.” Pagawai itu memperbetul kesilapanku.
“Erm..ya, betul.” Kenapa tiba-tiba terasa panas muka aku ni? Aduh, malunya..!
Menerusi percakapanku, ada sesuatu yang ganjil pada riak wajah ibu. Pasti ibuku kehairanan dengan perubahan mendadakku ini. Aku pun tidak pasti sebenarnya. Aku hanya mampu mengukirkan senyuman dan menyerahkan segala-galanya kepada Allah. Manusia yang merancang, Allah yang menentukan. Aku sangat gembira dan bersyukur kerana dengan pengalamanku bertemu dengan pak cik itu, aku kini telah berubah. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah..

p/s : Hasil daripada penulisan housemates, dan saya menolong dengan menyebarkannya kepada rakan2..=)

Dapatan imaginasi,
NamidaSyaripuddin

0 comments:

Post a Comment